Saturday, 16 October 2010

Tempahan untuk Mitsubishi ASX

Tempahan untuk Mitsubishi ASX




BERITA baik untuk penggemar jentera Mitsubishi. Model crossover kompak daripada pembuat kereta yang kental dengan DNA rali itu bakal berada di pasaran tempatan.

Sejak melakukan debut di Geneva Motor Show Januari lalu, model yang dikenali sebagai Mitsubishi ASX ini berjaya mencetus minat yang bukan sedikit di seluruh dunia.

Justeru, bagi menawarkan produk Mitsubishi yang terbaik kepada pelanggannya, pengedar dan pengimport jenama tersebut di Malaysia, Mitsubishi Motors Malaysia mula menerima tempahan Mitsubishi ASX sejak 8 Oktober lalu. 

Dikenali sebagai RVR di pasaran Jepun, Mitsubishi ASX dijangka dilancarkan secara rasmi pada awal bulan November 2010. Menurut Mitsubishi, konsep utama ASX adalah saiz pintar. 

Ia lebih kompak berbanding SUV konvensional. Namun, ia besar sedikit daripada sebuah kereta kompak dengan posisi kedudukan yang lebih tinggi. Pendek kata, ASX berjaya memperoleh kesimbangan di antara kedua-dua aspek tersebut. 

Justeru, anda boleh mengharapkan kualiti pengendalian seperti sebuah kereta penumpang, di samping semua kelebihan yang mampu ditawarkan oleh sebuah SUV. 

Nadi ASX terletak pada unit enjin petrol 16 injap bersesaran 2.0 liter. Ia turut dilengkapi dengan sistem MIVEC ciptaan Mitsuibishi yang sudah terbukti kemampuannya. 

Enjin DOHC moden itu berupaya menjana kuasa sehingga 150PS dan tork setinggi 197Nm. Kuasa itu akan diagihkan menerusi kotak gear INVECS-III CVT dengan ciri Sports Mode enam kelajuan. 

Pakej peralatan yang ditawarkan oleh ASX juga memuaskan. ASX hadir bersama ciri standard Active Stability Control (ASC), Hill Start Assist, selain dua beg udara untuk penumpang hadapan dan beg udara pada bahagian lutut pemandu. 

Tempat duduk ASX dibalut dengan kulit. Bahagian kabinnya juga dipasang dengan sistem audio 2 DIN yang lengkap bersama skrin sentuh. Panel instrumennya pula terdiri daripada paparan sistem LCD yang berperanan memaparkan pelbagai maklumat pemanduan. 

Boleh didapati dalam lima warna menarik, Mitsubishi ASX dijangka ditawarkan pada harga RM140,000 (Semenanjung Malaysia) seunit. 

Maklumat lanjut, sila kunjungi bilik pameran Mitsubishi Motors yang terdekat, layari laman web www.mitsubishi-motors.com.my atau hubungi Customer Care Line di talian 03-7622 2202.

Sumber: KOSMO! 16 Oktober 2010.

No comments:

Post a Comment


About this blog

HALWA TELINGA