Tanggal 27 Rejab pada setiap tahun umat Islam di seluruh pelusuk dunia akan menyambut peristiwa israk dan mikraj yang merupakan satu catatan sejarah yang penting dalam lipatan sejarah perkembangan Islam. Majlis memperingati peristiwa israk dan mikraj di Malaysia disambut dengan penuh meriah dengan majlis ceramah supaya umat Islam dapat mengambil iktibar dan pengajaran yang terkandung dalam peristiwa tersebut.
Peristiwa israk dan mikraj yang dilalui oleh Rasulullah bukanlah satu detik peristiwa biasa, malah ia bukan hanya sekadar suatu perjalanan untuk melihat kehebatan alam semesta sahaja. Lebih daripada itu, perjalanan israk dan mikraj mempunyai makna dan himah yang cukup mendalam bagi kehidupan Rasulullah secara peribadi dan kehidupan umat Islam secara keseluruhannya.
Peristiwa israk dan mikraj merupakan satu petanda bahawa risalah Islam yang disampaikan oleh Rasulullah bukan hanya untuk bangsa Arab sahaja tetapi untuk seluruh alam maya yang terdiri daripada umat manusia dan juga umat jin, sekali gus merupakan satu penghormatan kepada Rasulullah sebagai rasul akhir zaman yang tidak dianugerahkan kepada para rasul dan nabi yang lain sebelum Rasulullah.
Secara historis, latar belakang terjadinya peristiwa agung tersebut kerana kegelisahan dan kesedihan Rasulullah akibat tentangan, ancaman, pemulauan, ejekan, kecaman dan sebagainya daripada kaum kafir dan musyrik terhadapnya. Apatah lagi pada masa yang sama, Rasulullah kehilangan dua tonggak utama yang menjadi tulang belakang bagi gerakan dakwah Rasulullah untuk menyeru kaumnya ke arah Islam iaitu isterinya tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudaranya yang dikasihi Abu Talib. Tahun tersebut akhirnya diabadikan oleh sejarawan Islam sebagai tahun dukacita dalam kehidupan Rasulullah.
Untuk meredakan kesedihan Rasulullah dan mengendurkan ketegangan baginda dalam menghadapi tentangan kaumnya, maka Allah mengundang Rasulullah untuk berisrak dan bermikraj pada malam 27 Rejab. Semasa dalam perjalanan israk dan mikraj, Rasulullah diperlihatkan berbagai-bagai kejadian luar biasa yang mengungkapkan pelbagai hikmah, iktibar dan pengajaran kepada umat islam selepasnya.
Salah satu peristiwa penting yang sewajarnya diambil perhatian oleh umat Islam ialah peristiwa pensyariatan ibadat solat lima waktu pada malam tersebut. Jika diamati secara mendalam, ibadat solat difardukan kepada umat Islam melalui pensyariatan secara langsung daripada Allah kepada Rasulullah di Sidratul Muntaha tanpa penurunan wahyu dan perantaraan Jibril, sedangkan ibadat-ibadat lain seperti puasa, zakat dan lain-lain lagi difardukan kepada umatnya melalui perantaraan wahyu yang disampaikan oleh malaikat Jibril kepada Rasulullah. Pensyariatan ibadat solat secara langsung daripada Allah ini sekali gus mengangkat martabat dan nilai ibadat solat di sisi Allah. Dalam Islam, solat adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat maka dia telah mendirikan agama. Sebaliknya sesiapa yang meninggalkan solat bermakna dia telah meruntuhkan agama.
Pendek kata, perumpamaan ibadat solat dalam kehidupan Muslim adalah ibarat sebuah sungai mengalir yang dipenuhi air di hadapan rumah kamu. Maka kamu akan mandi di dalamnya sebanyak lima kali sehari untuk membersihkan diri. Inilah perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah bagi menggambarkan keistimewaan dan kelebihan ibadat solat dalam kehidupan Muslim.
Kepentingan ibadat solat dalam kehidupan Muslim dapat dilihat melalui tindakan Saidina Umar al-Khattab yang pernah menulis satu surat edaran untuk dikirimkan kepada semua gabenornya dengan katanya: Wahai para gabenor sekalian! Sesungguhnya tugas yang paling penting sekali pada pandanganku ialah mendirikan solat. Oleh itu, sesiapa yang tidak mendirikan solat sebagaimana sepatutnya, maka dia merupakan orang yang tidak dipercayai. Manakala sesiapa yang mendirikan solat dengan sebaik-baiknya, maka dia sudah memelihara agamanya. Dan sesiapa yang mensia-siakan ibadat solat bermakna dia telah mensia-siakan urusan-urusan yang lainnya.
Demikianlah keyakinan Saidina Umar al-Khattab bahawa kecurangan, kezaliman, kemunduran, kekalahan, kemelesetan ekonomi dan sebagainya mempunyai sebab musabab yang saling berkaitan. Hujung pangkal keadaan musibah yang menimpa umat Islam itu ialah kerana lemahnya iman dan juga betapa malasnya terhadap praktikal ibadat yang sempurna kepada Allah, terutamanya ibadat solat.
Seterusnya, Rasulullah dapat menghadap Allah melalui peristiwa israk dan mikraj, maka setiap Muslim dapat berhubung secara terus ke hadrat Ilahi yang Maha Esa tidak memerlukan sebarang alat komunikasi walau secanggih macam mana sekalipun. Memadailah seseorang Muslim bermunajat dan berhubung ke hadrat Allah pada bila-bila masa dan di mana juga keadaannya melalui ibadat solat. Hanya ibadat solat sahajalah jiwa dan raga seseorang Muslim langsung tersangkut pada Yang Maha Agung.
Selain itu, Rasulullah juga bertemu dengan satu kaum yang memecah-mecahkan kepala mereka dengan batu yang keras. Setiap kali kepala mereka pecah, keadaan akan kembali seperti sedia kala dan mereka berterusan memecahkan kepala mereka dan tidak pula melakukan perbuatan tersebut. Rasulullah bertanya kepada Jibril berkenaan golongan tersebut, lalu dijelaskan bahawa golongan tersebut ialah sekumpulan orang yang berat kepala mereka untuk mendirikan solat fardu.
Selain daripada seksaan meninggalkan ibadat solat, Rasulullah juga diperlihatkan seksaan akibat tidak menunaikan zakat, sedekah, memakan riba, meninggalkan jihad pada jalan Allah, tidak menjaga lidah dan memelihara anggota tubuh badan dan sebagainya. Rentetan kejadian demi kejadian ini menyingkapkan kewajipan-kewajipan agama telah datang sekalipun masih belum difardukan lagi. Ia mempamirkan corak kehidupan Islam yang merangkumi seluruh aspek kehidupan umat .
Peristiwa israk dan mikraj sebenarnya mengukuhkan lagi kepercayaan Muslim kepada perkara ghaib yang merakamkan waktu silam, waktu kini dan waktu akan datang, sekali gus mempamerkan kekuasaan, kebesaran dan keagungan Allah yang menguasai alam semesta yang merupakan manifestasi makna rukun iman, manakala pensyariatan ibadat solat dan gambaran berbagai-bagai ganjaran serta seksaan terhadap amalan-amalan yang dilakukan oleh umat manusia pula merupakan manifestasi makna rukun Islam.
Begitulah penghayatan menyeluruh yang seharusnya diselami, difahami dan dipraktikkan oleh setiap Muslim dalam kehidupan seharian melalui peristiwa bersejarah israk dan mikraj. Peristiwa tersebut berupaya bertindak sebagai pemangkin ke arah pengukuhan akidah, pengamalan ibadah secara konsisten dan perhiasan akhlak terpuji seseorang Muslim supaya dapat meraih keredaan Ilahi dan kebahagiaan sejati di dunia dan akhirat.