Tuesday, 17 August 2010

2 Golongan sambut Ramadhan



Apapun Ramadan telah melahirkan dua jenis manusia yang mempunyai cara berbeza dalam penampilan mereka selepas Ramadan, justeru marilah sama-sama kita renung secara mendalam untuk kita tentukan golongan mana yang patut dicontohi.

Golongan Pertama

Golongan yang dapat disaksikan dalam bulan Ramadan begitu ghairah melakukan apa ahaja amal ibadat selagi sanggup melakukannya, solat ketika orang lain juga bersolat, ruku’, sujud, bertadarus dengan berlinangan air mata kerana takutkan azab Allah ketika membaca al-Quran.

Agak sukar untuk melihat dalam diri mereka akhlak yang terkeji, kerana satu bulan Ramadan diisi dengan pelbagai ketaatan kepada Allah, menjauhkan diri dari segala maksiat dan perkara yang melalaikan.

Namun setelah sebulan dua ditinggalkan Ramadan, ketaatan, ibadat dan segala apa yang dilakukan hanya menjadi kenangan manis yang berlalu pergi bersama pertukaran bulan-bulan yang lain, surau dan masjid bukan lagi menjadi tempat destinasi persinggahan, al-Quran bukan lagi menjadi bahan bacaan harian, bulan berganti bulan hingga terbit Ramadan pada tahun berikutnya, inilah golongan yang hanya beribadat secara bermusim, seolah-olah Allah hanya wujud di bulan Ramadan sahaja, sedangkan pada bulan-bulan yang lain kehangatan beribadat semakin pudar.

Golongan Kedua

Golongan yang merasa amat gembira dengan kedatangan Ramadan dan merasa hiba dengan pemergian bulan yang mulia ini, kerana mereka merasa seronok dengan kemanisan dan janji-janji yang ada padanya.

Ramadan bagi mereka adalah peluang untuk menambah koleksi pahala sebanyak mungkin, kerana mereka mengetahui, bahawa Ramadan bulan kesabaran, persamaan, berkasih-sayang, terpadat padanya Lailatul Qadr, solat Tarawih, rahama, keampunan, pelepasan dari api neraka, Nuzul al-Quran, tadarus, tazkirah, pengeluaran Zakat Fitrah, peristiwa Badr al-Kubra, pembukaan kota Mekah dan seribu macam pahala yang tersedia untuk direbut.

Mereka beramal dengan sepenuh hati bagi menjana diri sebagai hamba-hamba Allah yang bertakwa menerusi ibadat puasa, mereka akan menangis jika Ramadan hampir melabuhkan tirainya kerana mungkin tidak akan bertemu dengannya pada tahun-tahun yang mendatang.

Kesimpulannya

Terserah kepada anda untuk menentukan kedudukan yang mana satu yang harus anda pilih di antara dua golongan yang disebutkan di atas.

Andalah sebagai hakim untuk memastikan masa depan di akhirat lebih terjamin untuk mendapatkan syafaat baginda Rasulullah s.a.w ketika ada di kalangan manusia yang tercicir namanya dalam senarai mereka yang dimasukkan dalam syurga Allah yang kekal abadi dengan segala nikmat yang membahagiakan.

http://albakriah.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment


About this blog

HALWA TELINGA