Sunday, 11 April 2010

Mujahadah Memerangi Hawa Nafsu

Dipetik dari:
Mempertajamkan Mata Hati
Oleh Ibnu Athoillah Assukandari

Kata “mujahadah” berasal dari kata “al-jihad” iaitu mengeluarkan segala kesungguhan, kekuatan dan kesanggupan pada jalan yang diyakini oleh manusia bahawa jalan itulah yang hak dan benar.  Namun demikian, kata al-jihad itu telah sering dipakai dalam erti perang sabil, memerangi musuh-musuh, dan membela diri dari serangan dan gangguan mereka.
Seorang ahli bahasa yang terkenal, Ibnul Atsir menerangkan bahawa al-jihad adalah memerangi orang kafir dengan sungguh-sungguh menghabiskan daya dan tenaga dalam menghadapi mereka, baik dengan perkataan atau perbuatan.  Sebagaimana mafhum firman Allah
“Berjihadlah dijalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka”
(Surah At-Taubah: 20)
Kata jihad boleh juga diertikan dengan perjuangan dalam mencari rezeki yang halal; berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w:
“Mencari (rezeki) yang halal itu adalah jihad”.
(Hadith riwayat Abu Nuaim dari Ibnu Umar)
Namun dalam dunia tasauf, kata jihad diertikan dengan memerangi hawa nafsu.  Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. bahawa memerangi hawa nafsu itu lebih berat dan lebih besar daripada memerangi orang-orang kafir.  Bahkan Rasulullah s.a.w. setelah kembali dari satu peperangan besar bersabda kepada sahabat-sahabatnya:
“Kita ini kembali dari peperangan yang paling kecil, menuju
peperangan yang lebih besar”
Setelah Rasulullah s.a.w. ditanya sahabat, beliau menjawab bahawa peperangan yang lebih besar itu ialah memerangi hawa nafsu.  Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah s.a.w menggambarkan bagaimana besarnya bahaya hawa nafsu:
“Bukanlah orang yang gagah berani itu lantaran dia cepat melompati
musuhnya didalam pertempuran, tetapi orang yang berani ialah
orang yang boleh menahan dirinya dari kemarahan”.
(Hadith riwayat Abu Daud)
Imam Qusayiri menerangkan bahawa mujahid ialah mereka yang berusaha membebaskan diri dari kekangan hawa nafsu yang menjadi sifat manusia, dan berusaha mengendalikan diri serta tidak memperturutkan kehendaknya dalam kebanyakan waktunya.  Imam Ghazali menerangkan erti mujahadah iaitu pengerahan kesungguhan dalam menyingkirkan nafsu dan syahwat atau menghapuskannya sama sekali.
Menurut Prof. Dr. Hamka bahawa perjuangan melawan hawa nafsu, manusia terbahagi kepada tiga bahagian.
  1. Kalah sama sekali dengan ajakan hawa nafsu, sehingga dirinya ditahan dan diperbudak oleh hawa nafsunya sendiri, bahkan hawa nafsunya itu dijadikan tuhannya.  Sebagaimana mafhum firman Allah, “Apakah yang engkau lihat (Muhammad) orang yang mengikuti hawa nafsunya menjadi tuhannya?”.
  2. Peperangan antara keduanya berganti-ganti, terkadang kalah dan menang, jatuh dan tegak.  Orang yang begini yang patut disebut MUJAHID.  Kalau dia mati dalam keadaan menang, matinya mati syahid.  Kerana memerangi hawa nafsu itu lebih berat daripada melawan musuh yang kelihatan.
  3. Orang yang dapat mengalahkan hawa nafsunya, sehingga ia dapat menguasai hawa nafsunya, bukannya dikuasai oleh hawa nafsu.  Malah tidak diperbudakkan oleh hawa nafsunya.  Sabda Rasulullah s.a.w., “Tidak seorangpun di antara kita yang tidak bersyaitan, saya sendiri pun juga bersyaitan.  Tetapi sesungguhnya Allah telah menolong saya menghadapi syaitan saya, sehingga syaitan itu dapat saya kalahkan”. (Hadith riwayat Ibnu Jauzi dan Ibnu Abdurrahman Salmi).
Umar bin Khatab juga mendapat darjat yang ke-3 ini kerana Rasulullah s.a.w pernah berkata kepada Umar, “Demi tuhan yang menguasai diriku di dalam tangan Nya, tidaklah engkau bertemu dengan syaitan pada satu jalan, melainkan syaitan itu menyingkir kepada jalan lain yang tidak engkau lalui”. (Hadith riwayat Muslin dan Saad bin Abi Waqash). 
Darjat yang ke-3 ini adalah darjat nabi dan wali.  Ada pun yang disebut wali di sini ialah Waliur Rahman, yang disebut Allah dalam Al-Quran yang telah taqarrub kepada Allah dengan amal ibadahnya, bukan wali menurut sesetengah umat yang telah diperjual belikan oleh ulama-ulama yang mengubah-ubah pelajaran agama.  Memerangi hawa nafsu adalah suatu perjuangan yang benar-benar berat, maka kalau manusia kurang berhati-hati tentu akan tergelincir dan kalah.  Sehingga akan diperbudakkan oleh hawa nafsunya sendiri.

Sumber: http://albakriah.wordpress.com/

No comments:

Post a Comment


About this blog

HALWA TELINGA