Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani, Selawat
dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w serta ahli
keluarganya, sahabat dan seluruh umat yang menurutinya dalam kebaikan
dan keimanan.
Kami sekumpulan ilmuan Islam dan pendakwah tanahair dengan ini
sukacita untuk berkongsi sedikit respon kami terhadap bajet 2012 yang
baru dibentangkan Jumaat.
Dengan status sebahagian besar kami yang kerap diajukan soalan
berkaitan kehidupan dari pelbagai aspek khususnya dalam bab agama, kami
merasa tanggungjawab untuk menyumbang idea dan ilmu, justeru kami duduk
mengadakan pertemuan di antara ilmuan dan beberapa pendakwah yang
berkesempatan bagi membincangkan BAJET 2012 walau mengakui kami tidak
mempunyai angka-angka lengkap dan terperinci berkait pembangunan ekonomi
Negara. Pun begitu, itu tidaklah menghalang kami dari memberikan respon
dari angka-angka dan cadangan yang termaktub di dalam buku bajet 2012.
Bajet 2012 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Razak semalam menyediakan peruntukan RM232.8 bilion dengan defisit
4.7 peratus.Secara umumnya kami mengakui bahawa bajet yang dibentangkan
secara umumnya adalah baik dan memberi perhatian yang banyak serta agak
komprehensif kepada kemaslahatan rakyat dari pelbagai genap lapisan dan
sektor.
Pun begitu, agak merungsingkan apabila bajet ini masih kekal defisit,
tahun lalu defisit adalah sebanyak 5.4 peratus.Perlu difahami unjuran
hasil kerajaan pada tahun 2012 hanyalah RM 186.9 billion dan ini
bermakna kerajaan perlu membuat hutang dalam negara yang baru sebanyak
RM 45.9 billion.
Kami dengan ini, menyuarakan kebimbangan kami terhadap trend menambah
hutang dalam mengurus dan membangun Negara tercinta ini. Menurut
Laporan Bank Negara Malaysia yang terkini bertarikh 30 September 2011,
berdasarkan angka hutang negara setakat suku kedua 2011 menunjukkan
jumlah hutang negara telah pun mencecah RM437 bilion dan meningkat 11.9
peratus kepada RM455.75 billion bagi hujung tahun ini.
Berhutang itu bukanlah perkara yang sihat untuk diteruskan tanpa
sebarang plan konkrit untuk menyelesaikannya, Nabi Muhammad s.a.w
bersabda:
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
Ertinya :
Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat
ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun
barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun
akan merugikannya” ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )
Juga sabda baginda:-
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من
المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد
فأخلف
Ertinya :
Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang,
lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari
hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : ” Jika seseorang
berhutuang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari” ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )
Berdasarkan hasil perbincangan telus, sederhana akademik dan
sifat non-partisan di antara beberapa peserta pertemuan ilmuan Islam dan
pendakwah terlibatdalam pertemuan berkala ini, pihak kami menyambut Bajet Negara 2012 dengan perasaan bercampur-campur.
Secara ringkas dan mudah dan berdasarkan kemampuan kami yang
sederhana, berikut adalah respons kami terhadap beberapa isi penting
terpilih dari Bajet 2012 yang dibentang pada 7 Oktober 2011:-
A) Sokongan sepenuhnya
Kami memberikan sokongan sepenuhnyaterhadap item-item berikut:-
- Kewujudan Dana Perusahaan Kecil Sederhana secara Patuh Shariah
bernilai RM2 billion yang akan diagihkan melalui institusi kewangan
Islam yang terpilih.
- Potongan cukai kepada sukuk terbitan wakalah, sebelum ini telah
diberikan kepada sukuk mudarabah, BBA, Istisna’, murabahah, ijarah.
- Pengecualian cukai bagi urusniaga sukuk bukan ringgit sebagai galakan perkembangan industri kewangan Islam.
- Skim pembelian kereta baru jenama tempatan bagi pemilik teksi
individu dengan beberapa tawaran nilai lupusan bagi jangka hayat kereta
yang berbeza. Ini juga baik, bagi menggalakkan kualiti teksi sedia ada,
sekaligus mengurangkan risiko pengguna dan menaikkan imej negara.
- Potongan dua kali belanja syarikat bagi yang menyediakan latihan
internship. Langkah ini juga disokong khususnya latihan teori dan
peperiksaan di universiti semata sememangnya tidak mampu menghasilkan
tenaga kerja yang cekap dan mahir, justeru tawaran ini dikira mampu
meningkatkan kecekapan tenaga kerja muda di Malaysia disamping menaikkan
produktiviti syarikat terbabit dengan tenaga kerja yang lebih
menjimatkan.
- Mana-mana pemberi biasiswa dari kalangan syarikat swasta akan memperolehi pengecualian cukai.
- Pertukaran gaji kepada sistemsatu lapis dan kenaikan gaji, iaitu
pada kadarRM80 – RM320 atau opsyen skim SBPA dengan faedah kenaikan gaji
pad akadar 7-13 peratus.
- Bonus setengah bulan kepada kakitangan awam dan bantuan RM500 kepada pesara.
- Dana Pengkomersialan Inovasi bagi PKS sebanyak RM 500 juta melalui pembiayaan patuh Shariah.
- Yuran sekolah rendah & menengah dimansukhkan.
- Sumbangan orang ramai kepada rumah ibadah dan sekolah swastaakan mendapat potongan cukai.
- Pelbagai program membangun hal asasi di luar Bandar melalui
danabernilai RM5 bilion untuk jalanraya, air bersih, elektrik, tangki
air, felda diperbaiki sistem pengairan dengan bajet RM400 juta lagi.
- Umur bersara lanjut ke 60 tahun.
- Jadual dan jumlah jam kerja pegawai perubatan di ubah kepada purata
hanya 60 jam seminggu sahaja, ditambah dengan sistem elaun oncall pada
kadar RM30 ke RM 80 semalaman.
- Bajet biasiswa bagi galakan penjawat awam menyambung pelajaran di peringkat BA, MA dan PhD
- Naik pencen 2 peratus setahun.
- Baiki rumah nelayan dari dana sumbangan bernilai RM 300 juta.
- Bantuan guaman bagi yang tertuduh tidak mampu. Bajet RM 15 juta diperuntukan.
- Hospital kanak-kanak dan wanita RM 700 juta.
- Warga emas berumur 60 ke atas dikecualikan dari caj hospital
kerajaansebagai pesakit luar. Selain itu juga diberikan 50% diskaun
tambang LRT dan Monorel
- Orang ramai boleh menggunakan RM 1300 dari wang KWSP mereka untuk mendapatkan kuota haji melalui kaedah ring-fencing.
- Peruntukan meningkatkan sumber makanan melalui pertanian dengan nilai 1.1 billion.
- Baucar buku RM 200 bagi pelajar matrikulasi, IPTA, IPTS dan tingakatan enam.
- Galakan sistem bina kemudian jual, diperuntukan melalui perbankan
Islam bagi rumah bernilai RM 600,000 ke bawah. Ertinya, hanya apabila
rumah siap, barulah pelanggan diperlukan untuk membuat bayaran bulanan.
B) Sokongan dan nota perhatian
Berikut pula adalah item yang disokong, namun dengan dengan sedikit nota:-
- Pengecualian cukai duti import dan duti eksais untuk kereta elektrik
dan hybrid. Namun pihak kami merasakan pihak kerajaan sewajarnya
meluaskan lagi galakan ini dan bukan sekadar terhad kepada dalam
industri automatif, malah juga wajar diberikan potongan cukai atau
insentif yang sesuai kepada mana-mana perusahaan dan perkilangan yang
mampu beroperasi secara bersih dan kurang pencemaran melalui
sistem‘tekonologi hijau’, selain itu kami juga ingin mencadangkan agar
kerajaan mengkaji bagi mengenakan cukai penalti atau khas kepada
mana-mana kenderaan dan kilang yang mengakibatkan sebaran ‘carbon
emission’ berlebihan kepada persekitaran.
- Pengecualian cukai bagi francais tempatan bagi mengalakkan
perkembangannya. Dengan kelebihan ini, pihak kami menyeru agar harga
khidmat, servis dan makanan yang disediakan oleh francais terlibat tidak
dinaikkan bagi mengelakkan tambahan beban bagi rakyat, juga diharapkan
pihak kerajaan mampu mengambil inisiatif menasihatkan pihak francias
menaikkan kualiti perkhidmatan mereka.
- Skim rumah pertama bagi kakitangan berpendapatan di bawah RM 3000,
dibenarkan untuk membeli rumah pada harga maksimum RM 400 ribu
berbanding RM220 ribu sebelum ini, dengan kebenaran menggabung nama
suami isteri. Kami berpendapat kenyataan ini hanya merawat sebahagian
masalah pemilik rumah pertama sedang ia tidak mampu menyelesaikan
masalah harga rumah yang tinggi kepada golongan ini. Selain itu,
pengumuman ini dijangka boleh mengakibatkan galakan tidak langsung
penjual untuk menaikkan harga rumahlalu menambahkan risiko kemampuan
peluang golongan ini memperolehi rumah.
- Amanah ikhtiyar – 2.1 billion bagi tujuan ‘micro credit’, namun
diharapkan agar ia mampu disalur juga melalui dana patuh Shariah.
- Sistem bas di luar Bandar RM 150 juta. Namun begitu, bajet kali ini
mengalpakan peruntukan dan tumpuan untuk pengemaskinian dan sistem
transportasi dalam bandar yang masih belum berkesan..
- Menggalakkan Doktor, akauntan, guaman dan lain-lain professional
buka perkhdimatan di luar Bandar dengan dana RM100 juta bagi pinjaman
riba 4 peratus. Ia disokong namun mengapa tiadapilihan dana patuh
Shariah? Juga disarankan agar kerajaan bukan hanya mengehadkan kepada
badan professional tetapi juga badan-badan kebajikan dan sukarela yang
ingin mengadakan khidmat sepertinya.
- SME ‘revitalization fund’ untuk SME bermasalah. Pinjaman mudah 1
juta boleh diberikand dari dana bernilai RM 100 juta yang
disediakan.Walau bersetuju namun pihak kami merasakan keperluan kerajaan
memberi pilihan perkhidmatan Patuh Shariah melalui perbankan Islam.
- Bantuan RM500 kepada isu rumah berpendapatan bulan RM3000 dan ke
bawah dalam usaha meringankan belanja seharian rakyat termasuklah dalam
menyekolahkan anak-anak mereka. Kami bimbang bantuan ini akan
mencetuskan lambakan tunai ke dalam masyarakat yang boleh mengakibatkan
peningkatan kadar inflasi akibat kenaikan harga barangan, justeru pihak
kami mengharapkan kerjaaan mampu merancang tatacara yang boleh digunakan
bagi mengawal kenaikan harga barang agar tidak dinaikan sewenangnya
akibat pengumuman ini, khususnya apabila ditambah dengan pemberian bonus
sebanyak setengah bulan gaji. Juga pihak kami juga menegaskan bahawa
agak ramai keluarga berpendapatan kurang dari RM 3000 yang tidak akan
mendapat bantuan ini lantaran mereka tidak berdaftar dengan LHDN, juga
tidak jelas sama ada individu yang tidak pernah membayar cukai LHDN
boleh berdaftar tahun ini lalu terus mendapat kemudahan ini.
- Pemilik teksi individu dan kereta sewa dikecualikan dari duti eksais
dan cukai jalan sebanyak 100 %. Ini adalah baik bagi menggalakan lagi
tekanan syarikat kepada pemandu teksi. Pun begitu, kami juga merasakan
adalah bertambah jika kerajaan dapat juga mempertimbangkan pemberian
permit-permit teksi kepada individu dengan lebih banyak.
- KARISMA: Untuk warga emas miskin RM 300 sebulan, kanak-kanak miskin
RM 100 sebulan, kurang upaya RM 150-350 sebulan. Kami bersetuju cuma
melihat agar perlu ada peruntukan bagi OKU untuk mendapatkan peluang
pekerjaan di dalam perkhidmatan awam, menaikan fasiliti asasi mereka di
tempat awam selaras dengan dasar OKU, selain itu sewajarnya kerajaan
memberikan pengecualian cukai kepada syarikat swasta yang mengambil OKU
bekerja (jika belum ada)
C) Komentar umum
Berikut pula komentar umum kami terhadap bajet 2012 :-
- Belanjawan defisit berterusan melebihi 5 tahun bukanlah sesuatu yang
sihat. Defisit menyebabkan keperluan kerjaaan untuk meminjam dengan
faedah riba, apabila setiap tahun pinjaman bertambah maka jumlah
hutang-hutang sebelum ini yang ‘outstanding’ pasti akansemakin
menyesakkan. Bajet kali ini masih tidak menjelaskan plan kerajaan untuk
menaikkan hasil dan pendapatan bagi mengelakkan belanjawan defisit.
- Tiada sama sekali peruntukan untuk pembangunan urusan hal ehwal
Islam sebagai agama rasmi melalui agensi-agensi kerajaan. Ini patut
dikaji segera oleh kerajaan kerana bajet sepatutnya memberi perhatian
dan sokongan kepada resolusi yang dicapai dalam Kongres Majlis Agama
Islam Negeri Seluruh Malaysia bagi membangunkan pengurusan hal ehwal
Islam.
- Peruntukan bagi sekolah-sekolah agama rakyat tiada disebut dan diabaikan.
- Peruntukan untuk mengatasi gejala sosial yang semakin meruncing juga
tiada diberikan perhatian sama sekali. Peruntukan patut disediakan sama
ada melalui sekolah, agensi kerajaan terbabit, NGO dan yang layak.
- Pemberian konsesi dan kontrak kepada beberapa pengendali lebuh raya
yang akan dibuat sebagaimana diumum di dalam bajet mestilah diurus
dengan penuh integriti agar tidak lagi klausa perjanjian yang merugikan
rakyat akibat menjamin kenaikan wajib setiap tahun.
- Di dalam keadaan defisit dan pemotongan pelbagai cukai terhadap
pelbagai perkara, kerajaan sangat wajar mengenakan kembali ‘import tax’
untuk barang mewah yang pernah dihapuskan sebelum ini.
- Terlalu banyak agihan perlu sampai segera kepada masyarakat yang
mengharap dari bajet ini, tanpa sikap efisyen tinggi dan tiada badan
khas yang dipertanggungjawab, ia mungkin hanya tinggal pengumuman
sahaja.Justeru, kami mencadangkan bagi membuktikan ketelusan dan
keikhlasan bukan sekadar pilihanraya, kerajaan mewujudkan badan pemantau
khas dianggotai wakil kementerian, NGO & ahli politik untuk
mencatat setiap agihan yang diumumkan di dalam bajet, lalu melaporkannya
secara suku tahunan (quarterly) kepada parlimen bagi pengetahuan
rakyat.
- Pengecualian cukai bagi projek dan syarikat-syarikat KLIFD yang
diberikan sehingga 10 tahunadalah terlalu panjang yang merugikan Negara
khususnya apabilakewangan negara berada di dalam kedaaan defisit,
justeru kami mencadangkan ia dikaji semula dan diubah kepada lima tahun
sahaja.
- Sekuriti dan isu keselamatan rakyat tidak diperuntukan dengan
peruntukan yang mencukupi, walaupun ada bajet untuk polis namun kita
perlukan peruntukan khususuntuk sistem tekonologi sekuriti lebih baik
seperti CCTV dan lain-lain sistem bagi memudahkan polis membantu
keselamatan rakyat jelata.
- ‘Green tax’ sekali lagi ingin kami highlightkan, pengecualian cukai
bagi syarikat mampu mengurangkan pencemaran dan kenakan cukai bagi yang
membuat pencemaran diperlukan.
- Bagi mengelak spekulasi di dalam pemilikan perumahan, kami berharap
kerajaan mampu mengkaji lagi sistem yang telah diperkenalan sebelum ini
iaitu pembelian rumahketiga dan seterusnya, institusi kewangan diminta
untuk memberi pinjman sehingga 70 % sahaja, namun bagi merendahkan terus
peluang spekulasi yang menyebabkan harga rumah meningkat sehingga
menyukarkan pembeli rumah pertama dan pembeli untuk tujuan penginapan
(bukan pelaburan), kami meminta pembiayaan dan pinjaman untuk pembelian
rumah ketiga dan ke atas dihadkan kepada 50 % sahaja berbanding 70 %
sebelum ini.
- Peruntukan bagi mengemaskan dan menaiktaraf sistem pengangkutan dalam bandar tidak disebut di dalam bajet kali ini.
- Selain memberikan tumpuan kepada hospital baru, naik taraf hospital
swasta dan klinik, perlu juga perlu juga mengkaji khidmat di hospital
swasta yang kian meningkat kos khidmat mereka.
- Transformasi sepatutnya tidak hanya terhad kepada plan agihan yang
baik tetapi plan kerajaan untuk tingkatkan integriti, kesungguhan dan
keazaman mengelak ketirisan yang mengakibatkan perbelanjaan mengembang.
- Tidak disebut kali ini berkenaan cukai barangan ‘dosa’ ke atas
rokok, arak, judi dan sepertinya. Ini diperlukan bagi memperolehi
pendapatan Negara dalam keadaan defisit dan mengecilkan jumlah mereka
yang ingin terjebak di dalam masalah terbabit.
- Kedai 1Malaysia (KRIM) adalah baik namun perlu disedari peruncit
kecil terpaksa bersaing dengan hargabarangan jualan KRIM yang 40% lebih
rendah dari harga pasaran, jika tidak dikawal lokasinya boleh ‘membunuh’
kedai-kedai runcit milik peniaga kecil dan sederhana, justeru kami
mencadangkan agar kedai ini benar-benar ditempatkan lebih banyak di
kawasan luar bandar atau di kawasan yang dikenalpasti didiami kumpulan
pendapatan rendah seperti PPRT di kawasan bandar atau universiti.
- Kadar keuntungan cukai harta tanah, di dalam lampiran bajet 2012
disebutkan niat kerajaan adalah untuk mengekang spekulator hartanah dari
berleluasa lalu cukai ke atas keuntungan jualan harta tanah dinaikkan
dari 5 % ke 10 % bagi pelupusan dalam tempoh kurang dari 2 tahun, kami
mencadangkan agar kerajaan mengembalikannya kepda jadual cukai asal
iaitu 30% secara berperingkat dwi tahunan agar masalah ini dapat
dibendung dengan lebih efektif. Selain itu, jualan harta tanah setelah
5-10 tahun pula dicadangkan agar tidak dihapuskan terus, maka boleh
diletakkan cukai minima sekitar 1 peratus,iadijangka penting untuk
menjana pendapatan kerajaan.
Akhirnya, kami menyeru kepada semua pihak yang terlibat dalam fasa
penyampaian dan perlaksanaan segala inisiatif yang telah dimaktubkan
dalam belanjawan yang diumumkan agar bersifat amanah dan menzahirkan
accountability yang tinggi agar setiap inisiatif yang dijanjikan
benar-benar dirasai manfaatnya oleh para kumpulan sasaran. Kami
mengingatkan seluruh stakeholders yang terbabit dengan Firman Allah SWT:
إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُكُمْ أَن تُؤدُّواْ الأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا
وَإِذَا حَكَمْتُم بَيْنَ النَّاسِ أَن تَحْكُمُواْ بِالْعَدْلِ إِنَّ
اللّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ إِنَّ اللّهَ كَانَ سَمِيعًا بَصِيرً
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis
amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu
menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum
dengan adil.Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi
pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu.Sesungguhnya Allah sentiasa
Mendengar, lagi sentiasa Melihat”. (An Nisa:58)
Firman Allah juga :
إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
Ertinya :
sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi dapat dipercaya. ( Al-Qasas : 26)
Sabda Rasulullah SAW:
“Tiada iman pada orang yang tidak beramanah” (Riwayat Ahmad)
Dari kami untuk khidmat masyarakat,
Ustaz Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (Mursyid)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman (Pengerusi)
Ustaz Dr. Maszlee Malik
Ustaz Dr Zahazan Muhammad,
Ustaz Syed Mohd Norhisyam
Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman,
Ustaz Hj Mohammad Nidzam Abdul Kadir,
Ustaz Hj Aizam Mas’ud,
Ustaz Hj Hasrizal Abdul Jamil,
Ustaz Dr. Khairuddin Aman Razali,
Ustaz Imam Muda Asyraf Mohd Ridzuan,
Ustaz Ramadhan Fitri Elias,
Ustaz Dr.Ahmad Wifaq Mokhtar,
Ustaz Zamri Zainuldin ‘Mantop’
Ustaz Abdullah Bukhari Al-hafiz
Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman
Ustaz Shauqi Othman
Ustaz Dr Firdaus Mohd Hatta
Dr. Mohd Nizam Barom
Link:
IslamItuIndah
"Mencorak Suasana Dengan Islam"